Salam ceria
Semalam semasa berkunjung ke salah satu department store, saya terjumpa dengan seorang kawan lama. Nak kata rapat sangat dulu, tak lah jugak tetapi rapatlah. Sembang punya sembang, tiba-tiba terkeluar cerita.... mungkin dia dalam tekanan sehingga dia sanggup bercerita, ataupun mungkin lebih kepada ingin meluahkan perasaan.
Kasihan kepada kawan saya itu, pelbagai dugaan yang dihadapinya dan rupa-rupanya telah hampir lima tahun dia mememdamkan perasaan. Bayangkan perasaan kita jika ibu bapa kita bercerai, dan yang lebih menyedihkan ibu kita tidak mengakui kita anak dengan alasan kita anak ayah. Ibu apa yang sanggup membeza-bezakan anak sebegitu? Kemudian terpaksa pula tinggal bersama ayah yang tinggal serumah bersama perempuan yang bukan isteri.
Dia betul-betul terkilan kerana ayahnya membuat perangai sebegitu, walaupun telah ditegur berkali-kali. Dan katanya lagi, yang paling dia tidak suka adalah kerana perangai perempuan itu yang suka mencari pasal dengannya. Dia tidak tahan kerana sikap ayahnya yang lebih mempercayai cakap perempuan itu berbanding dia, anak sendiri.
Malang menjadi bertimpa-timpa apabila dia ditipu oleh teman lelakinya. Banyak wang yang diberi pinjam lesap sebegitu sahaja. Bila dihubungi tidak pernah diangkat. Dia menjadi buntu. Wang gajinya tinggal sedikit kerana perlu membayar hutang sana sini akibat menolong orang. Wang simpanan telah kosong dikeluarkan. Bukan setakat itu sahaja, dia juga turut membayar hutang pinjaman bank kerana terlibat dengan jualan langsung setelah dipujuk rayu oleh kawannya dengan alasan barang-barang tersebut telah ada pembelinya. Puluhan ribu yang dipinjam bank, barang dibeli, modal lesap. Yang tinggal adalah hutang-hutang yang perlu dilunaskan
Mungkin cerita ini nampak seperti dongengan, tetapi itulah realitinya. Air mata yang mengalir bagai tidak pernah mahu berhenti. Dia nampak seperti tiada masalah, tetapi di dalam sarat dengan pelbagai cerita sayu dan sendu...