Kedai Buku Online

Tuesday, March 30, 2010

Hmmm..........

Hujung minggu yang lalu, macam biasa kami keluar berjalan-jalan sekeluarga. Sampai di pekan suami letak kereta berdekatan dengan sebuah kedai yang menjual kereta-kereta mewah keluaran toyota. Dalam hari sempat berangan, bilalah harrier ni boleh kupandu....aduhai......hahaha....angan-angan, tak kena bayar kan?

Selepas meletakkan kereta, suami terus bergegas keluar kerana mahu ke bank, namun sempat berpesan kepada saya supaya mengunci pintu kereta. Saya dan anak-anak selepas keluar dari kereta berjalan menuju ke sebuah farmasi yang letaknya bersebelahan dengan kedai kereta mewah tu. Kebetulan ada seorang lelaki sedang merokok di hadapan kedai tersebut. Bila saya melintasinya dia terus menegur, " Kereta iswara ke kak? Tak nak ker tukar wira ker, satria ker. Persona pun cantik". Sambil matanya sekejap memandang saya dan sekejap mengerling ke arah kereta iswara buruk saya tu. Ya, iswara tu dah lama, hampir sepuluh tahun dah. Memang nampak nazak sangat dah.....

Saya terkedu seketika, tetapi sempat juga menjawab, "tak per la encik, saya tak mampu" dalam hati saya sambung, '...nak terima pelawaan encik tu'. Saya tersenyum dan terus berlalu. Hmmmm....sebenarnya tidak lah kecil hati dengan pertanyaan dia, cumanya saya hairan kenapa orang kita (baca : MELAYU) suka sangat 'underestimated' orang lain. Andai kata seseorang itu tidak mampu sekalipun, cubalah untuk memberikan tawaran yang lebih tinggi, tiada salahnya. Di dalam kedainya tiada langsung kereta-kereta murah, harrier, alphard, estima, wish dan caldina. Namun apa salahnya 'membeli jiwa' pelanggan dengan kereta-kereta mewah itu dahulu. Kalau mereka cakap tidak mampu dan kemudian barulah tawarkan yang lebih murah.

Kadang-kadang, faktor ini lah yang menyebabkan orang malas nak ke kedai melayu. Orang lebih suka berurusan dengan pekedai cina. Mulut manis mereka akan mampu membuatkan kita membeli barangan mereka. Pengalaman saya dan kawan-kawan yang telah beberapa kali ke kedai kereta-kereta mewah seperti ini sememangnya mengakui orang melayu suka memandang rendah kemampuan pelanggannya. Mereka suka mengharapkan pulangan yang tinggi terus. Tak suka melayan kerenah golongan-golongan sederhana ni. Kalau yang datang dengan kereta wish atau camry barulah mungkin mereka akan offer kita kereta alphard atau harrier tu agaknya.


Thursday, March 11, 2010

UBAT HATI

Assalamualaikum

Bila saya membaca blog kawan-kawan, saya perhatikan ada segelintir daripada blogger yang suka memberikan komen yang kurang membina, dalam erti kata lain, sebenarnya komen yang dilontarkan tidak memberikan manfaat kepada tuan punya blog, dan juga pembaca-pembaca lain. Ada yang menggunakan blog-blog orang lain untuk melepas perasaan. Komen-komen yang diutarakan dalam bentuk serangan peribadi sebenarnya menggambarkan keadaan blogger itu sendiri. Mungkin boleh juga diketegorikan sebagai hati yang sakit.

Seketika dahulu negara pernah kecoh dengan blogger yang menggunakan nama Aduka Taruna, yang pernah mengutuk upacara kemangkatan Sultan Johor, dan jika kita lihat di dalam blognya sendiri, bukan sekadar Sultan Johor yang dikutuk tetapi Saidatina Aisyah dan Saidina Ali yang sudah lama tiada di dunia inipun pernah menjadi mangsa kutukannya.

Selain dari itu, ada juga yang mewujudkan blog untuk melakukan serangan ke atas pemimpin-pemimpin negara, serangan berbentuk peribadi iaitu serangan ke atas sifat-sifat peribadi pemimpin itu sendiri. Anda cari lah sendiri, banyak blog yang sedemikian, sehinggakan agak muak untuk membacanya.

Bagi saya orang seperti ini sebenarnya mempunyai penyakit yang dinamakan penyakit hati. Samalah juga dengan seorang BOSS yang pernah saya tulis dalam post saya. Penyakit hati jika tidak diubati, maka akan memberikan kesan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada orang lain yang ada disekelilingnya. Mereka hanya akan menyusahkan orang lain yang ada disekeliling mereka, seperti seekor lalat yang tak putus-putus untuk hinggap atas makanan kita, nak dibuang sayang, nak dimakan dah tak lalu... begitulah perumpamaannya.

Pelbagai cara patut dilakukan oleh orang yang mengalami hati yang sakit. Beliau boleh bertaubat, beristighfar, melakukan solat taubat, memaafkan orang lain, bersangka baik dengan orang lain, dan macam-macam lagi. Ada orang yang tidak pernah menyedari yang dirinya mempunyai penyakit hati, sehinggakan dia berterusan melukakan hati kawan-kawan disekelilingnya. Jika kita menyedari bahawa kawan kita telah terkena virus ini, mungkin sebagai kawan kita perlu berbuat sesuatu, menasihati, memberitahu, mendoakan dan sebagainya yang termampu untuk kita lakukan.

Untuk mengubati hati kita perlu tahu caranya. Buku hasil tulisan Ustazah Siti Nurbayah banyak mengupas tentang hati, peranan, jenis-jenis hati, racun hati dan tanda-tanda sakit hati. Dan beliau juga mengajar kita melalui bukunya bagaimanakah caranya untuk mengubati hati yang sakit dan menghidupkan kembali hati yang mati. Andainya kita merasakan kita telah terjangkit penyakit itu, wajarlah untuk kita membacanya dan mengamalkan apa yang disarankan oleh Ustazah di dalam buku beliau. Andai kata juga kawan kita adalah yang bepenyakit hati ini, sudi-sudikanlah untuk memberikan buku ini sebagai hadiah kepadanya, moga-moga memberikan manfaat untuk dia dan kita semua.

Buku Digital Ubat Hati
*

Monday, March 8, 2010

TSUNAMI

Assalamualaikum

 Masihkah anda semua ingat bencana alam yang menimpa kita pada tarikh 26 Disember 2004. Saya percaya ramai yang tidak lupakan sejarah ini. Mungkin tidak ramai yang mengalaminya, tetapi peristiwa yang menyayat hati ini sebenarnya ditangisi oleh kita semua. Bencana yang menimpa negara jiran kita Indonesia tetapi tetap juga memberi kesan kepada kita di Malaysia sekaligus meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta benda.

Banyak blog yang memceritakan hal itu, secara langsung mahupun tidak langsung kepada kita. Dan di dalam blog ONDSCENE ada memaparkan gambar-gambar ngeri mangsa-mangsa tsunami itu. Kemudian pada bulan Mac 2005, sekali lagi fenomena tsunami ini menyerang dan juga menyebabkan beribu-ribu lagi nyawa melayang di kepulauan Indonesia. Tempat yang paling teruk terlibat adalah di Banda Acheh, Kepulauan Sumatera. Namun kesan daripada gegaran ini tetap dirasai oleh kita semua di Malaysia dan tidak terkecualilah saya. 

Semasa kejadian pada 26 Disember, saya sedang mengandungkan anak ketiga saya Nisaa'. Semasa gempa bumi yang mengakibatkan tsunami tersebut berlaku, saya sedang baring-baring di rumah (bercuti kerana tidak sihat), dan kemudian saya secara tiba-tiba merasakan seolah-olah katil yang sedang saya gunakan bergoyang-goyang, seolah-olah berada di atas kolek. Masa tu saya hanya berfikir, mungkin saya pening, sebab saya memang mengalami masalah tekanan darah yang rendah semasa mengandung. Cuma bila saya terlihat berita mengenai tsunami ini barulah saya tahu, apa yang saya alami bukanlah kerana saya pening tetapi kerana satu bencana alam yang telah meragut banyak nyawa.

Sayunya di hati melihat keadaan keluarga mangsa. Bayangkan ada seorang ayah yang kehilangan 5 anaknya, ada yang tinggal sehelai sepinggang kerana rumah habis musnah dan sebagainya. Masa itu saya sangat bersyukur kerana saya cuma merasai kesan gegaran dan bukannya mengalami kehilangan ahli keluarga dan kemusnahan harta benda.


Kemudian pada 6 Mac 2005, si kecil nisaa' itu telah selamat saya lahirkan. Masih di rumah yang sama yang berada di tingkat 7 daripada 12 tingkat. Sekali lagi saya merasakan gegaran akibat gempa bumi yang melanda Kepulauan Sumatera. Hari tersebut ( saya tak begitu pasti tarikhnya yang tepat, cuma selepas tanya pakcik Google, dinyatakan tarikhnya adalah pada 28 Mac 2005), ataupun lebih tepat, malam tersebut, selepas semua seisi rumah sedang tidur, saya terdengar pintu gril seolah-olah digegarkan oleh seseorang. Dalam saya terfikir-fikir itu, tiba-tiba saya terpandang lantai rumah bergoyang (shaking). Terus terlintas di fikiran, " Ya Allah, tsunami lagi ke?". Dan kebetulan, saya terdengar hingar bingar di seluruh bangunan pangsapuri tu, masing-masing berlumba-lumba untuk turun dari bangunan.

Serta merta saya kejutkan suami, dan tunjukkan lantai yang bergoyang. Saya juga kejutkan mak dan ayah yang ada bersama. Suami terus capai anak kedua dan kejutkan anak pertama. Saya mendukung nisaa' yang masih dalam pantang. Kami semua turut bergegas turun, cuma masa tu saya bersyukur sebab kami turun lambat daripada orang lain. Bayangkan saya yang masih dalam pantang dan mak yang sudah tidak begitu kuat, terpaksa turun daripada tingkat 7. Kalaulah ramai yang turun bersama-sama kami, saya tidak dapat bayangkan kekalutannya dan kemungkinan saya dan mak akan menjadi mangsa terkena rempuhan.

Apabila kami sampai di bawah, ramai yang sudah berkumpul dan pihak polis pun turut hadir. Kami dimaklumkan bangunan pangsapuri tersebut masih selamat untuk diduduki, sehingga diberitahu sebaliknya. Namun, suami yang khuatirkan keselamatan kami sekeluarga bertindak menghantar saya, anak-anak dan mak ayah ke rumah abang di Sungai Buloh. Selama 2 hari lah juga saya berkampung di rumah beliau. Rasanya itu mungkin kenangan semasa pantang yang paling pahit saya alami. Ya, tidak lah seteruk jika kita bandingkan dengan apa yang mangsa tsunami alami tetapi tetap satu pengalaman yang bernilai.

....dan pada sabtu lepas, 6 Mac 2010, Nisaa' sudah pun berusia 5 tahun. Setiap kali ulangtahun kelahiran dia, pasti akan mengingatkan saya kepada peristiwa tsunami pada 26 Disember 2004 dan gempa bumi pada 28 Mac 2005. Selamat Ulang Tahun kelahiran sayang, ibu tetap mendoakan yang terbaik dalam hidup Nisaa'. Sayang Nisaa' selalu.....




Beberapa maklumat tentang tsunami:
Tsunami

Tsunami1

Perpustakaan Negara Malaysia

Tsunami Mac 2005
*