Mungkin ini adalah post yang terakhir untuk bulan Februari ni. Tak banyak yang boleh saya tuliskan, entah kenapa sejak akhir-akhir ni selalu sahaja kekeringan idea untuk menulis. So untuk hari ini saya ingin kongsikan satu buku yang menarik yang sangat sesuai untuk kanak-kanak, tetapi sangat bagus juga jika orang dewasa ingin membaca dan mengambil ikhtibar dari ceritanya.
Buku yang saya maksudkan adalah buku ' 10 sahabat yang dijanjikan syurga' hasil tulisan Saridah Hamid dan diterbitkan oleh PTS Publications and Distributors Sdn Bhd.
Di sini saya ingin kongsikan salah satu cerita di dalam buku ini...Cerita ke lima dengan tajuk 'Ketua Negara Prihatin'
Umar bin Khattab diamanahkan memegang jawatan ketua negara Islam yang kedua apabila Abu Bakar meninggal dunia. Beliau menerima pelantikan itu dengan berat hati kerana tanggungjawab yang diterimanya itu adalah besar iaitu memimpin umat Islam. Umar berikrar kepada Allah dan seluruh umat Islam yang beliau beritnda kasih pada rakyatnya dan berlaku adil dalam segala perkara mengikut kemampuannya.
Antara kata-kata dalam ucapannya di hadapan rakyat selepas dilantik menjadi ketua negara, "sesungguhnya, saya dan segala urusan bagi kamu adalah bagaikan seorang wali bagi anak yatim iaitu tidak mengambil apa pun daripadanya. Tetapi sekiranya saya ditimpa kesusahan, saya menggunakan harta dengan cara baik"
Umar melakukan tugas-tugas sebagai ketua negara tanpa mengira had waktu. Beliau melakukan tinjauan ke atas rakyatnya tanpa mengira waktu samada siang ataupun malam.
Pada suatu malam, Umar sedang meronda-ronda di sekeliling kawasan madinah dengan hambanya, Aslam. Tiba-tiba, beliau melihat cahaya yang memancar tidak jauh dari tempatnya.
Beliau berkata pada hambanya, "Kamu lihat ditengah-tengah padang pasir itu, nampanya seperti ada khemah di situ. Mungkin ada rombongan yang tidak dapat memasuki bandar ini kerana hari sudah gelap. Mari kita lihat"
Apabila sampai ke tempat perkhemahan itu, Umar melihat seorang ibu dengan beberapa orang anaknya. Kelihatan si ibu sedang memesak air di dalam periuk. Umar menghampiri khemah itu dan memberi salam.
"Mengapakah kanak-kanak ini menangis?" tanya umar kepada wanita ini apabila melihat anak-anaknya asyik menangis.
"Mereka sangat lapar," jawab wanita itu dengan nada sedih
"Apakah yang ada di dalam periuk itu?" tanya Umar lagi sambil menunjukkan jari ke arah periuk yang dimasak atas kayu api.
"Di dalam periuk itu hanya ada air. Ini adalah cara saya memperdayakan anak-anak saya supaya mereka tidur. Mereka fikir, tentu saya sedang sibuk menyiapkan makanan. Saya pasti mengadu kepada Allah mengenai Umar pada Hari Kiamat nanti kerana membiarkan saya dan anak-anak kelaparan!" jawab wanita itu sambil memandang anak-anaknya yang mulai diam dan ada yang tertidur.
"Semoga Allah ampunkan kamu. Tapi, bagaimanakah caranya Umar dapat tahu mengenai penderitaan kamu?" tanya Umar kepada wanita itu. Dia mengesat air matanya kerana tidak tahan mendengar rintihan wanita itu.
"Sebagai seorang ketua negara, dia sepatutnya tahu keadaan hidup setiap rakyatnya," jawab wanita itu tanpa mengetahui yang berada di hadapannya adalah ketua negara yang dimaksudkan.
Tanpa melengahkan masa, Umar kembali ke Madinah dan pergi ke Baitulmal, iaitu tempat menyimpan harta bagi membantu rakyatnya. Beliau mengambil guni dan mengisinya dengan tepung, kurma, minyak masak dan pakaian serta sedikit wang. Apabila guni itu penuh, Umar berkata kepada hambanya, "Aslam, tolong letakkan guni ini dibelakang saya."
"Tidak! Tidak! Wahai ketua Negara! Biar saya yang membawanya, " kata Aslam melarang umar membawa guni yang berat itu.
"Apakah kamu hendak menanggung dosa saya di akhirat nanti? Biar saya yang memikulnya kerana sayalah yang disoal nanti, " kata umar dengan tegas/
Aslam serba salah tetapi terpaksa mengikut kehendak tuannya. Dia pun meletakkan guni itu dibelakang Umar. Kemudian, mereka berdua berjalan ke khemah wanita miskin itu. Sebaik sahaja sampai di khemah itu, Umar mengambil sedikit tepung, buah kurma dan minya lalu dimasukkan kedalam periuk yang berada di atas dapur itu. Beliau mengacaunya sambil meniup api kayu yang hampir padam sehingga asap terkena janggutnya.
Tidak lama kemudian, makanan yang dimasak sendiri oleh Umar pun siap. Beliau sendiri menghidangkan makanan itu kepada wanita miskin dan anak-anaknya. Mereka makan sehingga kenyang. Anak-anak wanita miskin itu gembira dan mula bermain sesama sendiri.
Wanita miskin itu tersenyum dan berkata,"Semoga Allah memberi balasan kepada kamu berdua kerana hati kamu baik. Sesungguhnya, kamu lebih layak memegang jawatan ketua negeri ini daripada Umar."
Umar pun berkata, "Sekiranya kamu datang berjumpa ketua negeri ini nanti, kamu pasti berjumpa saya"