Kedai Buku Online

Tuesday, May 11, 2010

12 TAHUN YANG LALU

Assalamualaikum

Pada tarikh ini, 11 Mei 1998 saya telah selamat diijabkabulkan dengan seorang pemuda. Kini setelah 12 tahun telah berlalu, 11 Mei muncul kembali, menandakan telah 12 tahun kami berada di alam rumahtangga. Adat orang berumahtangga, ada kalanya manis, ada kalanya masam dan ada kalanya pahit. Bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Walaupun begitu, alhamdulillah, sehingga kini kami masih bersama, mengharungi suka duka kehidupan, sementelah pula dengan kehadiran empat cahaya mata, segalanya-galanya telahpun lengkap dalam hidup ini.

Mengimbas kembali pada tarikh 11 Mei 1998, suami melafazkan akad, sedangkan saya menanti di rumah dalam debaran. Setelah hampir tengahari, abang yang pulang dari masjid terus berjumpa dengan saya di bilik, " Nani, suami nani sekarang dalam perjalanan, sekejap lagi sampai. Dia suami nani dah tu, dan bukannya lagi seorang pakwe". Ucapan abang itu saya hanya sambut dengan senyuman, sedangkan dalam hati, hanya Allah yang tahu. Pelbagai rasa bermukim, tak mungkin mampu nak diluahkan. Walaupun kami kenal hampir 3 tahun sebelum melangsungkan perkahwinan ini, namun debaran tetap debaran.

Setahun sebelum itu, kami mengikat tali pertunangan ketika waktu sepatutnya dia menghadiri konvokesyennya. Ketika orang lain bersukaria, meraikan kejayaan masing-masing setelah tamat pengajian, suami dan ahli keluarganya menghalakan rombongan mereka ke Kelantan. Kata putus diambil dan janji diikat, hanya setahun masa pertunangan diperuntukan. Hanya setahun masa yang diambil untuk suami mengumpul wang hantaran dan sebagainya. Saya yang masih belum menamatkan pengajian terpaksa bergantung sepenuhnya kepada keluarga dalam urusan perkahwinan. Alhamdulilllah, segala-galanya berjalan lancar dengan bantuan kedua ibu bapa terutamanya, adik beradik serta ipar duai. Tak lupa juga anak-anak saudara yang sudah boleh diharap, sama-sama membantu meringankan kerja-kerja. Mungkin majlis saya merupakan majlis perkahwinan terakhir dalam adik beradik saya menyebabkan masing-masing berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Suatu perkara yang saya kira melucukan berlaku ketika hari perkahwinan tersebut. Sebelah petang apabila rombongan suami sudah pulang ke tempat penginapan mereka, dan kawan-kawan yang datang meraikan kami sudah ramai yang pulang, suami mengajak saya ke pejabat pos. Katanya, lesen memandunya sudah tamat tempoh, sudah beberapa hari sebelum hari kahwin kami lagi, cuma katanya dia tidak perasan. Dan malangnya kami terpaksa ke pejabat pos pada hari itu juga sebab keesokkan harinya pejabat pos tutup. Dan terpaksalah kami bergegas ke pejabat pos ketika itu juga, dan bayangkan kami ke sana dengan pakaian pengantin yang lengkap lagi. Ketika suami beratur untuk memperbaharui lesen tu, ramai yang melihat kami semacam. Ya lah kan, dengan baju pengantin, beratur di pejabat pos. Orang pun boleh confuse, ada photoshoot ke atau kahwin betul-betul. Sepanjang-panjang perjalanan pulang kami masih lagi ketawa mengenangkannya, apatah lagi ketika itu kebetulan anak saudara yang berusia lebih kurang dua tahun ikut sama, mungkin menambahkan lagi kekeliruan orang ramai. Hehehehe...

Setelah 12 tahun, tarikh 11 Mei kembali dikenang. Semoga 11 Mei yang akan datang tetap dapat disambut sebagai tanda kesyukuran, kami selamat diijabkabulkan dan kami masih melayari bantera ini. Doakan kami kekal sehingga ke akhir hayat. Amin...
*
p/s lesen tu sy masih simpan sampai sekarang tau...

Saturday, May 8, 2010

HAPPY MOTHER'S DAY

Assalamualaikum...

Bulan Mei kembali menjelma setelah setahun menghilangkan diri. Umum mengetahui ada tiga sambutan penting pada bulan ini, bermula dengan Hari Pekerja, Hari Ibu dan Hari Guru. Hari Pekerja telahpun disambut pada 1 Mei yang lalu, tak kisahlah bagaimana sambutannya, yang penting hari itu adalah hari untuk semua pekerja di dunia ini. 

Kemudian sekarang, Hari Ibu bakal menyusul. Anak-anak pasti sibuk memikirkan apakah hadiah yang sesuai untuk ibu masing-masing. Teringat ketika saya kecil-kecil dahulu, hari Ibu pun saya tak pernah dengar, apatah lagi untuk meraikannya. Sekarang, kalau saya ucapkan 'Selamat hari Ibu' kepada mak saya pun mesti mak tidak mengerti. Mesti dia kehairanan kenapa perlu diucapkan ayat tersebut kepadanya. Namun begitu, insya Allah saya tidak pernah ketinggalan untuk menelefon mak di kampung setiap kali hari ibu, bukanlah untuk mengucapkan ayat tersebut kepadanya tetapi cukuplah sekadar ingatan kepadanya, memberitahunya yang kita sayang kepadanya dan sentiasa ingat kepadanya.

Anak-anak sekarang, mereka sudah sedar akan kewujudan hari Ibu. Masing-masing sudah merangka apa yang perlu diberikan kepada kita. Amirul dari hari selasa lagi sudah membawa pulang 2 kuntum bunga kepada saya, katanya 1 sebab abang tak beri apa-apa masa birthday ibu dulu, satu lagi sebab Mother's Day, dan sesungguhnya saya menyambut bunga tersebut dengan senyuman dan hati yang kembang. 
Keesokkan harinya, semasa saya menunggu dia pulang dari sekolah, saya melihat dia, dari kejauhan sudah tersenyum meleret. Ditangannya ada sebuah kotak seperti kotak hadiah. Saya berkata dalam hati, mesti dia ada masuk pertandingan dan memenangi sesuatu. Namun, apabila dia masuk ke dalam kereta, terus dia hulurkan kotak tersebut kepada saya seraya berkata, "Hadiah untuk ibu". Saya kerutkan dahi, "kan semalam abang dah bagi?". "Takpelah, semalam lain, hari ni lain"..
"Mana abang dapat duit? Abang tak belanja ke?"
"Tak lah, abang bawa duit tabung abang"
"Terima kasih..."
Hmmm...walaupun tidak bersetuju dia guna duit tabungnya, tetapi saya tetap bangga kerana pernghargaannya kepada saya.

Hari Khamis, Nabila pula secara diam-diam meletakkan kad yang dibuatnya sendiri ke dalam beg tangan saya. Cantik kad yang dibuatnya, dan saya yakin dia membuatnya bersama kawan-kawan rapatnya. "Terima kasih kakak" saya katanya padanya dan disambut dengan senyuman olehnya.

Jumaat, satu lagi kad saya terima, kali ini daripada Nisaa' pula. Walaupun saya yakin, itu semua adalah inisiatif guru-gurunya, mengajar dan menolong untuk membuat hiasan pada kad itu namun tetap membuatkan saya merasa bahagia. Terima kasih kakcik....

Anak-anak ibu... ibu bangga dengan kalian...

eh...eh... mana hadiah Nadhira?
"Adik, adik nak bagi hadiah apa kat ibu?"
"adiah....adiah.....hmmmm...." Lama dia termenung...pastu dia gelak sebab saya dah geletek, sah-sah dia tak faham pun apa itu hadiah...hahaha...menung jauh cam ye je tengah fikir nak bagi hadiah apa, hehehe....


Thursday, May 6, 2010

TANPAMU DISISI

Memang benar cinta itu tidak memerlukan kita bertentang mata. Cukup hanya dengan kata-kata, hati wanita akan tersentuh jua. Begitulah episod cinta Zukhrina Syamimi dan Danish bermula. Cinta yang bermula di alam cyber. Adakah cinta cyber itu lahir daripada kasih nan suci? Tetapi mengapa disebabkan cinta cyber itu Zukhrina Syamimi terpaksa menanggung aib hingga kini? Lebih menyedihkan lagi dia hanya sempat menikmati alam rumah tangga hanya buat seketika apabila Danish meninggalkannya tanpa khabar berita. Adakah dia terlalu percaya dengan kasih suci itu? Mudahnya seorang lelaki menabur janji dan mudah juga mereka pergi. Sedangkan Zukhrina Syamimi terkapai-kapai sendirian setelah ditinggalkan suami dan keluarga. Dalam kepayahan Zukhrina Syamimi cuba bangkit demi sebuah harga diri. Dia tidak mahu terus mengalah pada putaran takdir yang tidak pernah berpihak padanya.


Akhirnya setelah dia berhempas pulas membina kehidupan yang penuh gemilang tiba-tiba lelaki itu hadir semula dalam hidupnya. Menjadi pengemis cinta padanya. Perlukah dia mengalah pada lelaki yang pernah menabur duri dalam setiap langkahnya dahulu? Sedangkan dia tidak mampu lagi untuk mengutip kasih ibu yang jauh tercicir.

 
Sinopsis cerita di atas adalah sinopsis daripada novel terbaru keluaran Buku Prima Sdn Bhd. Yang menariknya tentang buku ini ialah, ianya adalah hasil karya isteri kepada salah seorang rakan sepejabat saya. Dan menurut beliau, dia juga ada menyumbangkan idea di dalam proses penghasilan novel ini. So, kepada peminat-peminat novel, jangan ketinggalan,sila dapatkan buku ini dipasaran pada 18 Mei 2010 nanti....