Kedai Buku Online

Thursday, February 24, 2011

NOSTALGIA.....

sorong papan tarik papan
buah keranji dalam perahu
suruh makan dia makan
suruh mengaji dia tak tahu

rasanya kecil-kecil dulu kita biasa dengar pantun ni kan? Sampai sekarang pun mesti pantun ini masih terngiang-ngiang di telinga kita. Tetapi hari ni saya bukan lah nak bercerita pasal pantun sebab tak pandai pun berpantun. Kalau buat pantun pun rasa malu ngan orang jer sebab pantun jadi tah haper-haper...hehehe....

apa yang ingin saya highlight kat sini adalah berkenaan buah keranji....buah yang banyak meninggalkan nostalgia pada saya. Saya tak pasti berapa ramai di kalangan rakan-rakan yang biasa dengan buah keranji ni, tapi saya akan bantu dengan menampalkan gambar-gambar buah ini.

 Dua gambar di atas adalah gambar buah keranji hasil daripada carian google...nampak sangat menarik dengan isinya yang merah tuh....aduh...kecur air liur....


Yang ni pulak buah keranji yang saya beli di pasar Pasir Puteh semasa balik kg cuti raya cina yang lepas. Sebungkus kecil tu harganya RM2...erkkk....mahalnya....
Yang tak syoknyer sebab buah yang saya beli ni tak se'tempting' buah yang kat atas. Yang ni jugak agak tebal kulitnya berbanding buah kat atas dan warna isinya kecoklatan bukan merah walaupun rasanya tidak jauh beza...


Semasa kecil-kecil dulu...ayah saya selalu ke hutan, mencari sesuatu yang boleh dijadikan barang jualan...bila ingat-ingat kembali, terasa betapa sayunya...begitu besar pengorbanan mereka dalam membesarkan kita. Buah keranji ni adalah salah satu daripada hasil hutan yang dibawa pulang.  Rupa buah yang selalu ayah balik balik tu sama macam dalam gambar hasil carian google saya tu.

 Buah keranji ni rasanya hanya ada di hutan-hutan, seingat saya ayah pernah cakap, pokok dia hanya produce buah selepas 15 hingga 20 tahun. Memang sangat lama, sebab tu kalau diperhatikan pokoknya besar-besar dan tinggi-tinggi. Honestly saya memang tak pernah tengok pokoknya hanya tahu daripada cerita-cerita ayah.

Saya masih ingat, ayah selalu bawa balik buah ini dalam kuantiti yang sangat banyak. Dan saya adalah salah seorang 'pekerja' ayah dalam operasi packaging dan selling....hahaha...best sangat masa tu. Saya jual kat rumah, saya jual kt sekolah. Alhamdulillah, jualan saya sangat memberangsangkan sampai ada yang dengki dan report kat cikgu. Pernah sekali cikgu cari siapa yang jual buah keranji ni depan-depan saya. Nasib baik kawan-kawan tolong cover, dan barang jualan pun dah habis. Kalau tidak saya tak tahulah apa tindakan cikgu pada saya...hehehe....

Kisah yang saya sangat ingat tentang buah keranji ni adalah tentang kawan sekelas yang datang rumah untuk beli buah keranji. Hahaha...cerita lama...masa tu rasanya saya baru darjah 1 @ 2... Dia datang dengan kakak dan adiknya. Jumlah yang dibeli tak berapa ingat tetapi agak banyak jugak la. Mak bungkus dalam kertas jer masa tu dan dia selalu beri lebih dari sepatutnya. Nak dijadikan cerita, sebaik sahaja selesai urusniaga, dan mereka dalam perjalanan pulang, guruh di langit mula berdentum, langit mula gelap. Diaorang pun apa lagi...cabut lari la. Oleh kerana berlari dengan bersungguh-sungguhnya untuk elakkan terkena hujan, tanpa disedari,  buah keranji yang hanya dibungkus dengan kertas tu pun bertaburan....lastly bila sampai rumah, buah yang dibeli cuma tinggal tak sampai separuh. Kesian kat diaorang tapi apa boleh buat. Saya sampai sekarang tak tahu kenapa mak tak letak dalam plastik masa tu. Kehabisan atau memang tak pernah guna plastik, saya pun tak tahu dan tak pernah pulak bertanya balik kat mak dan ayah...

BTW, agaknya kalau jumpa balik dengan kawan-kawan yang pernah beli buah keranji tu memang sah memang soheh tak kenal....sangat lama...sudah hampir 30 tahun....hmmmm.....

Monday, February 21, 2011

TIGA TETAMU MISTERI

Assalamualaikum


Sedikit perkongsian daripada Solusi isu 24, semoga memberi manfaat kepada kita semua.....

Seorang isteri tinggal dirumahnya bersendirian. Suami dan anaknya pergi bekerja di kebun berdekatan. Sedang dia sibuk menyediakan makanan tengahari, datang tiga orang tetamu yang begitu tua memberi salam di hadapan rumahnya. Setelah menjawab salam, dia berkata, "Saya tidak dapat menjemput tuan-tuan masuk ke dalam rumah kerana suami saya tiada. Sudikah tuan-tuan duduk di halaman sementara menunggu suami saya pulang?" Salah seorang daripada mereka berkata, " Tidak mengapa, biar kami menunggu di luar."

Sejurus si suami pulang, mereka bersalaman dan para tetamu memperkenalkan diri."Saya kekayaan," kata lelaki pertama. "Saya kejayaan," kata lelaki kedua. "Dan saya kasih sayang," ujar lelaki tua yang akhir. Si suami menjemput para tetamunya masuk. Namun yang paling tua antara mereka berkata, "Hanya seorang daripada kami yang boleh masuk."

"Jadi kami terpaksa memilih antara kamu bertiga?" "Ya," jawab mereka. "Tunggu kami berunding dulu," pinta tuan rumah. "Kita pilih kekayaan," cadang si isteri. "Semoga rumah kita akan dilimpahi dengan kekayaan. Dengan kekayaan boleh mendapat apa sahaja yang kita dambakan selama ini."

"Tidak," kata si ayah. "Apa kata kita pilih kejayaan. Apabila kita berjaya pasti kita akan dapat harta. Bukan itu sahaja, malah banyak kagi"

"Ayah, ibu. Saya cadangkan kita pilih kasih sayang," kata si anak. "Biarlah kita hidup seperti hari ini. Hidup sederhana tetapi ianya penuh dengan kasih sayang. Saya gembira dan rasa amat bahagia bila ayah dan ibu saling berkasih sayang dan menyayangi saya...."

Kedua suami isteri itu tersentak dengan pandangan anak yang begitu murni. "Baiklah, kita akan jemput kasih sayang masuk ke dalam rumah kita," kata si ayah. "Tuan-tuan yang dihormati, kami mengambil keputusan untuk menjemput pakcik kasih sayang sebagai tetamu. Kami mohon maaf kerana menolak tuan kekayaan dan tuan kejayaan, kerana itu jua yang tuan-tuan minta."

Maka tetamu kasih sayang masuk ke dalam rumah mereka, namun diiringi oleh kedua-dua orang tua yang lain. Tuan rumah terkejut melihat ketiga-tiga masuk ke rumah. "Eh, maafkan saya! Mengapa tuan-tuan semua masuk? Bukankah tadi kami hanya memilih kasih sayang?"

"Anakku, jika kau menjemput kasih sayang bererti kau juga menjemput kekayaan dan kejayaan. Sudah menjadi prinsip kami akan pastikan ke mana sahaja kasih sayang pergi, kami akan mendampinginya." Mendengar yang demikian, lelaki, isteri dan anaknya tersenyum gembira. Alhamdulillah.....

.....Alhamdulillah...niat saya untuk berkongsi cerita ini dengan rakan-rakan terlaksana juga. Sudah beberapa lama cerita ini diperam, akhirnya selesai juga. Cerita ini walaupun nampak agak kartun, tetapi banyak memberikan pengajaran kepada kita. Apa yang cuba disampaikan adalah, betapa pentingnya kasih sayang di dalam sebuah keluarga. Jika keluarga itu saling berkasih sayang, maka kekayaan dan kejayaan akan datang dengan sendirinya mengiringi. Kalau kita lihat, walau macamana kaya sekalipun sesebuah keluarga itu, tetapi jika tidak dilimpahkan dengan kasih sayang, maka ianya seolah-olah tidak lengkap, seolah-olah tiada jiwa di dalamnya, maka jadilah keluarga itu keluarga yang porak peranda, sentiasa timbul masalah Tetapi jika ada kasih sayang, maka perhatian diutamakan dan hasilnya keluarga akan lebih harmoni dan sejahtera......

Wallahualam.....
*****