KLANG – Seorang suri rumah mendakwa dirinya tertekan semasa mendera anaknya yang berusia 12 tahun dengan menggunakan seterika panas.
Mazlinda Tubari, 28, pada rayuannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam berkata dia hanya berniat menggunakan seterika untuk mengacah-acah mangsa, Nur Aliya Safa Ismail.
"Dia tidak bermaksud melakukan kesalahan itu kerana sayangkan mangsa, juga anak sulung daripada tiga beradik, dua lagi anaknya 9 dan 6 tahun.
“Saya tertekan kerana anak sudah 19 hari tidak ke sekolah. Suami saya hendak ceraikan saya, 20 Julai depan saya akan ke Mahkamah Syariah.
Kerana tekanan hidup dan suami, saya cederakan anak saya,” katanya. Mazlinda kemudiannya memohon hukumannya diringankan kerana dia telah mengaku salah melakukan perbuatan itu pada jam 7 pagi, 27 April lalu.
Dia yang berbaju kurung dan bertudung biru didakwa melakukan perbuatan :itu di rumah lot 1723, nombor 9D, Sungai Udang, di sini.
:Mazlinda ditangkap 29 April lalu, selepas guru mangsa, Siti Marhayu Md Amin buat laporan polis.
:Fakta kes menyatakan, Siti Marhayu yang mengajar di Sekolah Rendah Agama Sungai Udang melihat kedua belah lengan mangsa melecur teruk selain kesan melecur di tengkuk.
Mangsa yang bersekolah di Sekolah Rendah Telok Gadong, di sini pada sebelah pagi juga mempunyai kesan lebam di peha.
Nur Aliya Safa juga memberitahu selain menggunakan seterika panas, ibunya juga memukulnya. Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu peruntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Majistret Gan Chee Keong memerintahkan Mazlinda menjalani hukuman penjara selama empat hari bermula semalam dan denda RM3,000 atau penjara 9 bulan jika gagal bayar denda.
*****dipetik daripada Sinar Harian
****Menjadi isteri dan ibu bukan lah suatu perkara yang mudah bagi sesetengah wanita. Kemudian apabila suami 'buat perangai' isteri akan mula rasa tertekan. Hanya wanita yang kuat semangat sahaja yang akan mampu untuk menempuhi sebarang badai yang melanda rumahtangganya. Wanita, walaupun kaum yang lemah tetapi mereka sebenarnya mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi apatah lagi jika disertai dengan kesedaran yang tinggi. Jika tidak, tidak akan timbul pepatah yang menyatakan "tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia". Semua wanita patut menyedari hakikat ini dan menggunakan kekuatan ini untuk memotivasikan diri sendiri.
****Semua perkara di dunia ada penyelesaiannya dan janganlah menjadikan anak-anak sebagai bahan untuk kita melepaskan perasaan. Teringat dulu peristiwa seorang isteri yang membunuh kedua-dua anaknya yang masih kecil dengan wayar seterika kerana percaya suaminya berlaku curang di luar. Anak adalah amanah Allah, sebaiknya kita menjaga mereka dengan sempurna. Tidak patut seorang ibu yang kita ketahui penuh dengan kasih sayang sanggup mencederakan anak sendiri. Sebaiknya, dan sepatutnya sebagai seorang Muslim, kembalilah kepadaNya. Mengadulah kepadaNya. Bermunajatlah kepadaNya. Insya Allah, Allah akan sentiasa bersama kita. Sebesar mana sekalipun masalah kita, hanya Allah yang akan mampu menyelesaikannya. Bukankah Allah telah berjanji yang wanita itu lebih mudah diterima doanya kerana sifat pengasih yang ada pada seorang wanita itu. Jika Dia telah berjanji, nescaya Dia akan menunaikannya....
No comments:
Post a Comment